About Us

Pengenalan Minyak Pelincir


Enjin adalah nadi untuk sesebuah kenderaan. Komponen-komponen enjin pula majoritinya menggunakan bahan-bahan keluli yang melakukan pergerakan tertentu setiap kali enjin beroperasi. Pergerakan komponen-komponen ini akan menghasilkan tekanan dan haba yang akan mengakibatkan kehausan pada komponen-komponen yang bergeser. Jadi, untuk meminimumkan masalah ini, minyak pelincir digunakan.

Secara asasnya, minyak pelincir akan berfungsi menyerap tekanan dan geseran yang boleh menyebabkan kehausan komponen-komponen enjin. Selain daripada cecair penyejuk dan pengaliran udara, minyak pelincir juga turut memainkan peranan utama dalam fungsi pengawalan dan penyerapan haba yang terhasil daripada operasi sesebuah enjin. Enjin-enjin yang berkapasiti lebih kecil (seperti motosikal 4 lejang) akan bergantung semaksimum mungkin kepada minyak pelincir dalam mengawal suhu enjin, selain daripada aliran udara.


Mengenali API dan SAE


'API' adalah singkatan kepada 'American Petroleum Institute' (Institut Petroleum Amerika). Ia adalah sebuah badan yang mewakili industri petroleum dalam penggalian, pengeluaran, penghantaran, penapisan dan pemasaran. Ia juga bertanggungjawab dalam bidang kaji selidik dan pengkelasan produk petroleum. Pengeluar-pengeluar minyak pelincir akan merujuk kepada piawaian 'API' untuk menentukan kelas dan gred minyak pelincir keluaran mereka.

Sementara 'SAE' pula adalah singkatan kepada 'Society of Automotive Engineers' (Persatuan Jurutera Automotif). Ia adalah sebuah badan yang terlibat secara langsung dalam kaji selidik berkenaan sesuatu produk yang berkaitan dengan industri automotif termasuklah minyak pelincir.

Nota: Untuk keterangan lebih lanjut mengenai pertubuhan-pertubuhan ini, sila lawat laman web http://www.api.org/ dan http://www.sae.org/ . Laman-laman web ini berguna untuk sesiapa sahaja yang ingin menambah pengentahuan berkenaan perkembangan teknologi semasa industri automotif sedunia.



Gred Minyak Pelincir

Minyak pelincir untuk sesebuah enjin kenderaan terbahagi kepada dua kategori, iaitu 'monograde' (gred tunggal) dan multigrade (pelbagai gred). Minyak pelincir 'monograde' adalah minyak pelincir yang hanya mempunyai satu kelikatan tunggal (samada semasa sejuk atau panas). Harga minyak pelincir jenis ini adalah lebih murah berbanding minyak pelincir 'multigrade' dan biasanya digunakan untuk kenderaan/jentera berat dan lasak atau untuk enjin kenderaan ringan yang telah berusia. Kadar kelikatan SAE 40 adalah sangat popular yang terdapat dipasaran hari ini.

Sementara minyak pelincir jenis 'multigrade' pula bermaksud, sesuatu minyak pelincir yang mempunyai kadar kelikatan yang boleh berubah daripada lebih cair semasa suhu sejuk kepada lebih pekat apabila kepanasan suhu meningkat. Kos pengeluaran minyak pelincir jenis 'multigrade' ini lebih tinggi berbanding minyak pelincir jenis 'monograde' tadi. Selalunya, minyak pelincir 'multigrade' dapat dikenal pasti daripada label yang tertera pada botol / bekas minyak pelincir tersebut.

Minyak pelincir 'multigrade' adalah dirujuk dengan 2 kadar kelikatan. Contohnya; SAE 10W/30, SAE 15W/50, SAE 20W/50 dan sebagainya. Konsonan W adalah bermaksud Winter @ Wet iaitu kadar kelikatan sewaktu suhu enjin sejuk. Di negara-negara bermusim sejuk / salji, minyak pelincir yang mempunyai kadar kelikatan rendah adalah sangat penting bagi memudahkan enjin kenderaan dihidupkan. Manakala angka selepas tanda palang adalah bermakna kadar kelikatan sesuatu minyak pelincir itu apabila suhu enjin panas. Semakin besar angka tersebut, semakin tinggi daya tahan minyak pelincir itu terhadap kepanasan suhu operasi enjin.

Walaupun di Malaysia tidak mempunyai musim salji, minyak pelincir 'multigrade' ini juga turut memainkan peranan dan ia juga telah menjadi satu standard yang ditetapkan oleh pengeluar kenderaan. Anda boleh merujuk kepada Buku Panduan Pemilik yang biasanya dibekalkan oleh setiap pengeluar kenderaan. Untuk kegunaan di Malaysia, penggunaan minyak pelincir yang mempunyai kadar kelikatan yang lebih tinggi semasa enjin panas adalah lebih digalakkan. Ini kerana majoriti pemandu-pemandu di bandar-bandar besar di negara ini biasanya menghadapi masalah kesesakan lalu-lintas. Apabila kenderaan terhenti-henti, sistem penyejukan enjin yang biasanya mengharapkan kepada bantuan pengaliran udara akan menjadi kurang efisien. Kadar suhu operasi enjin akan meningkat dan pada masa inilah minyak pelincir akan memainkan peranan dalam membantu menyerap haba yang terhasil daripada operasi sesebuah enjin. Minyak pelincir yang mempunyai gred API yang lebih tinggi biasanya akan berfungsi lebih baik.

 

Fungsi minyak pelincir menyejukkan geseran silinder

MINYAK pelincir atau lazim disebut minyak hitam (walaupun tidak berwarna hitam) cukup penting bagi membolehkan enjin berfungsi dan kereta boleh bergerak dengan lancar. Ia perlu ditukar pada setiap 5,000 atau 10,000 kilometer mengikut jenis dan grednya.
Namun, bagi kereta baru yang kali pertama menukar minyak hitam, ia boleh dilakukan pada 1,000 kilometer pertama seperti yang disyorkan oleh pengeluar dan pengedar.
Selain menggerakkan komponen dalam enjin seperti omboh dan bebola besi, ia juga bertujuan menyejukkan geseran kepada silinder dengan mengasingkan udara panas ke bahagian lain.
Penggunaan minyak pelincir juga mengelakkan komponen enjin berkarat selain memendapkan bahan bakar. Oleh kerana terlalu lama minyak pelincir itu digunakan, ia akan menjadi kotor akibat bahan bakar dalam enjin termasuk percampuran dengan air.
Oleh itu, pemilik kenderaan perlulah membaca buku panduan yang disediakan oleh syarikat pengeluar kereta cara menjaga ketahanan enjin kereta.
Lazimnya, minyak pelincir ditukar setiap kira-kira 5,000 hingga 8,000 kilometer atau enam bulan atau mana-mana yang terawal bergantung kepada jenis model kenderaan.
Bagaimanapun, sesetengah pemilik kereta lebih gemar menukarkan minyak pelincir sendiri kerana ia mudah dilakukan dengan menggunakan beberapa alat asas seperti pemutar skru dan bekas untuk mengisi minyak pelincir lama.
Peralatan lain yang diperlukan ialah jack atau bicu untuk mengangkat bahagian kereta bagi memudahkan anda memutarkan skru pada kotak minyak pelincir. Adalah lebih baik jika minyak hitam dikeluarkan sehingga titisan terakhir.
Anda juga disyorkan supaya mengeluarkan minyak pelincir lama untuk diganti ketika enjin masih panas. Ini kerana pada masa itu, minyak pelincir akan bercampur komponen kekotoran bahan bakar yang perlu dihapuskan ketika minyak pelincir itu disalurkan ke luar.
Jika enjin kereta tidak cukup panas ketika anda bercadang menukar minyak pelincir, eloklah dihidupkan enjin itu untuk beberapa minit terlebih dulu.
Sementara itu, sekiranya sebelum ini anda sudah menukar minyak pelincir tetapi apabila diperiksa kelihatan kotor, keadaan itu mungkin tidak berpunca daripada minyak.
Keadaan itu mungkin berpunca daripada beberapa faktor terutama bagi enjin yang masih baru atau bahagian enjin yang baru diganti seperti dinding silinder atau omboh.
Masalah itu berlaku mungkin akibat proses penyesuaian bahagian terbabit menyebabkan berlaku kehausan sehingga minyak pelincir akan mengandungi serbuk logam.
Apabila keadaan itu berlaku, proses penggantian minyak berkenaan terjadi dalam tempoh singkat menyebabkan ia menjadi hitam dan kotor lebih cepat berbanding dalam keadaan biasa.
Jika keadaan itu berlaku anda tidak perlu bimbang dan tukarlah minyak berkenaan bagi melancarkan perjalanan kenderaan anda.
Ini kerana minyak pelincir berfungsi bagi membersihkan permukaan dinding silinder daripada oksida, karbon dan kerak yang terjadi hasil pembakaran dalam bahagian berkenaan.
Jadi, di samping mencairkan sebarang pemejalan minyak, ia turut membawa kotoran yang ada di dalamnya dan membersihkan bahagian berkenaan. Jadi, apabila sudah kotor, minyak itu perlu diganti baru dengan segera untuk mengelakkan kerosakan pada bahagian enjin.

Xtra Attitude Sdn Bhd
 
No 65, Jalan Kantan 2G,
BB8, Bandar Bukit Beruntung,
48300 Rawang, Selangor, Malaysia.
 
Call : 019-4568490 / 013-3311090
 
 
Main Website : www.xrapower.com
 
 
Make a Free Website with Yola.